Thursday 28 August 2014

Kek Cawan & Teh Tarik Mamak vs Indian-French Contemporary Cuisine

Salam Khamis
 
Selalunya aku kongsikan ulasan filem dalam ruanganku di Selebriti Metro Ahad. tapi selalunya, ulasan yang dicetak tak sama dengan ulasan yang lahir dari diri aku sendiri sebab faktor suntingan dari editor (*sighh).
 
Jadi, aku kongsikan di sini 'pure' review dari aku mengenai dua filem yang aku anggap menarik untuk diulas.

 
ARAHAN: Woo Ming Jin
PELAKON: Shaheizy Sam, Siti Saleha, Azad Jasmin, Faizal Ismail (FBI), Maria Farida, Natasha Hudson dan AG Hot FM
GENRE: Komedi romantik
TAYANGAN: 28 Ogos 2014

Filem di bawah genre komedi romantik ini memiliki premis cerita yang cantik, visual yang menarik, barisan pelakon yang berkaliber, kesan khas yang unik dan sesuai dengan gaya cerita urban.
  Namun di segi penceritaan dan perwatakan, ia biasa-biasa saja. Ibarat sebiji kek cawan yang dihias begitu cantik dan menarik namun tidak cukup manis dan lemaknya.
  Penceritaan Mamak Cupcake terlalu ringan dan dilihat tidak seiring dengan fizikal filem. Andai diperincikan, suntingan dari babak ke babak terlalu ringkas.
  Ia memberi gambaran seolah penonton hanya membaca sebuah buku bergambar yang dipenuhi dengan warna-warna tertier tapi tiada pengisian yang mampu diserap.
  Di segi perwatakan, ramai yang mempersoal kejujuran Shaheizy Sam sebagai MJ, pemuda berketurunan Mamak yang bercakap Bahasa Malaysia dalam telo India.
  Bunyinya sedikit pelik dan agak keterlaluan. Walaupun dalam satu babak ada monolog MJ bercerita mengenai kehidupan peribadinya pernah membesar di India selama 10 tahun, ia masih belum cukup kukuh untuk penonton mempercayainya.
  Siti Saleha sebagai Juliana pula tidak diberi ruang luas untuk menunjukkan kredibiliti sebagai pelakon filem berkaliber. Aktres itu hanya wujud sebagai watak yang mencantikkan cerita saja.
  Jujurnya, Mamak Cupcake mampu menjadi sebuah filem yang sangat bagus andai diberi penekanan lebih baik pada perkembangan watak dan penceritaan. Ia kerana, filem ini sudah diberi suntikan komersil di sudut ‘production setting’.
  Malah, jalinan dan pertembungan budaya sudahpun ada dalam jalur ceritanya. Antara jelas kelihatan ialah budaya Mamak, percintaan dua bangsa berbeza, kecintaan pada masakan dan beberapa lagi elemen unik.
  Seperti dikatakan, kelemahan filem ini ialah kerana ia terlalu diringkaskan sehingga menghilangkan ‘roh’ filem itu sendiri.
  Kadang-kala membuat kita terfikir, apakah Mamak Cupcake seolah lari dari landasan jalan cerita yang sepatutnya? Bukankah apabila mengangkat kisah cinta pada masakan, jalan ceritanya juga patut menjurus ke arah itu?
  Apa sekalipun, penonton mempunyai lebih hak untuk menentukan filem ini berjaya di mata mereka atau tidak. Bak kata pepatah, tepuk dada tanya selera.


ARAHAN: Lasse Hallstrom
PELAKON: Helen Mirren, Manish Dayal, Om Puri, Juhi Chawla, Charlotte Le Bon
GENRE: Drama
TAYANGAN: 28 Ogos 2014

The Hundred-Foot Journey boleh dikatakan sebuah lagi filem yang bercerita mengenai cinta pada masakan tapi mempunyai rempah ratus dan bahan yang secukup rasa.
  Bukan cuba mencari kelemahan filem tempatan seperti Mamak Cupcake dengan filem luar negara terbitan Steven Spielberg dan Oprah Winfrey yang berbeza dari segi kos produksi dan teknologi.
  Cuma andai dilihat kembali, kedua-dua filem ini mempunyai kecintaan yang sama, yakni cinta pada masakan. Ia berbalik semula kepada soal penceritaan dan perwatakan.
  Perkara pertama yang menarik mengenai filem ini ialah bagaimana penulis lakon layar dan pengarah membudayakan filem yang mengangkat tema masakan.
  Bahan asas filem ini ialah makanan dan penceritaan filem ini berjaya menonjolkan keistimewaan serta keunikan dalam budaya masakan India dan Perancis.
  Ia sekaligus mengingatkan penulis pada filem animasi Ratatouille yang mengangkat tema sama.
  Hundred-Foot Journey fokus kepada memperkenalkan penonton kepada kepercayaan, gaya hidup dan sikap yang wujud dalam dua budaya berbeza.
  Permulaan cerita agak serius tatkala memperkenalkan setiap karekter, budaya dan obsesi mereka. Tapi sebaik melangkah ke babak-babak berikut, ia menjadi semakin ringan dan mudah dihadam.
  Komedi disuntik juga mudah menggeletek penonton kerana bersandarkan komedi situasi (cara terbaik untuk buat penonton gelak). Dicampur pula dengan dialog ringkas, padat tapi penuh bermakna, ia menjadikan setiap babak komedi tidak keterlaluan.
  Selain komedi situasi, aspek seterusnya pada tarikan filem ini ialah karekter. Setiap karekter ada kepelbagaian dan realistik tersendiri.
  Kebanyakan watak protagonis moden adalah satu dimensi sahaja dan mempunyai satu atau dua kualiti tersendiri terutama sudut fizikal.
  Tapi dalam filem ini, karekter protagonisnya lebih dinamik dan setiap mereka mempunyai impian, kelemahan dan kebanggaan sendiri.
  Seperti biasa, Helen Mirren tetap aktres yang berjaya memberi kesan di layar. Wataknya sebagai chef yang cintakan budaya masakan Perancis tapi tegas mengingatkan penonton kepada situasi yang memang wujud di dapur restoran lima bintang tradisional.
 Lakonan Om Puri sebagai tukang masak masakan India yang mahu mengembangkan budaya masakannya di negara asing juga mengingatkan penonton kepada kesungguhan yang memang wujud pada mereka yang cuba ‘survive’ demi keluarga.
  Filem ini bermain dengan banyak metafora melalui alatan masakan dan muzik dua budaya. Pendek kata, jika anda seorang yang sukakan cabaran, budaya dan masakan pada satu masa, The Hundred-Foot Journey adalah filem pilihan terbaik!
 

No comments:

Post a Comment