Friday 3 October 2014

Mat Bunga vs Mat Loser!

FILEM: Soekarno
ARAHAN: Hanung Bramantyo
PELAKON: Ario Bayu, Maudy Koesnaedi, Tika Bravani
GENRE: Biografi drama
TAYANGAN: 2 Oktober 2014
ULASAN: Amirul Haswendy Ashari

Filem Soekarno adalah filem yang boleh dibanggakan rakyat Indonesia kerana ikon negara itu berjaya menyatukan semua bangsa Indonesia di bawah satu kepimpinan melalui caranya sendiri.

Ia boleh dikatakan sebuah filem yang lengkap bercerita kisah dan perjalanan negarawan itu dari usia remaja sehingga saat proklamasi kemerdekaan diucapkan Soekarno pada 17 Ogos 1945.

Filem ini mempunyai banyak bahasa yang tersirat dan tersurat, malah pada masa sama dapat difahami semua penonton andai mengenali siapa Soekarno dan pengarahnya, Hanung secara zahir.

Disenangi atau mat bunga?
Antara dipaparkan ialah siapa Soekarno dari segi sifat peribadinya. Selain seorang yang yakin diri dan percaya pada permainan psikologi untuk melawan musuh, Soekarno juga dilihat seorang yang menjadi perhatian wanita.

Seawal babak remaja, Soekarno sudah ditonjolkan sebagai lelaki yang sukakan wanita cantik. Babak itu menunjukkan Soekarno jatuh cinta dengan gadis Belanda tapi mendapat tentangan daripada keluarga si gadis.

Dari situ, semangat Soekarno berubah untuk membebaskan bangsanya dari ancaman penjajah. Dari kisah cinta tak kesampaian, dia belajar berpidato dan melawan penjajah dengan kata-kata semangat.

Kemudian apabila dewasa dan berkahwin dengan seorang janda jelita, Inggit yang menjadi pendorong kepada Soekarno meneruskan perjuangannya.

Apabila perjuangannya hampir tiba ke kemuncak, dia sekali lagi diuji dengan wanita. Kali ini Fatmawati yang kini menjadi isterinya kedua.

Pengarah sengaja dengan cara halus menggambarkan sisi marhain ikon itu sebagai seorang yang kuat apabila adanya wanita disampingnya.

Mungkin sebab dirinya yang mempunyai daya penarik kepada perempuan, maka rakyat ketika itu juga mudah menyukainya lantas melantiknya sebagai pemimpin mereka.

Babak paling memberi kesan ialah tatkala Soekarno terpaksa menceraikan Inggit kerana mahu berkahwin dengan Fatmawati. Inggit tidak mahu dimadu tapi pada masa sama masih cintakan suaminya.

Aku tidak bisa bermadu.
*baju belang Soekarno, foto Inggit
di meja solek, refleksi Inggit di cermin dan visual suram
Petanda buruk buat subjek yakni Inggit.
Malam sebelum diceraikan, Inggit sedang berhias depan cermin, manakala Soekarno yang memakai pejama bermotif belang cuba memujuk Inggit. Di situ, penonton yang tahu ilmu bahasa filem pasti tahu, mahu atau tidak, Inggit tetap akan diceraikan.

Babak kali terakhir sebelum Inggit berpisah paling menyayat hati apabila tanpa sepatah kata, Inggit pakaikan songkok pada Soekarno yang cuba untuk memujuk hati Inggit.Inggit hanya menangis dalam pelukan Soekarno dan terus berlalu pergi.



Tapi dalam banyak-banyak babak yang cukup berbahasa halus, pengarah tetap dilihat sengaja menangguk di air keruh apabila memainkan lagu Terang Bulan, lagu yang sama dijadikan lagu kebangsaan Malaysia di babak pertama filem.

Membuatkan penonton akan sedikit terganggu kerana ia satu hal yang agak sensitif di negara ini. Ditambah pula dengan wujudnya babak buluh runcing di babak akhir, ia sikit sebanyak menampakkan ciri sebenar pengarah.

Pun begitu, bagi peminat filem kenegaraan, filem ini tetap sebuah filem yang boleh dijadikan sebuah contoh terbaik di segi pembikinan, lakon layar, lakonan, sinematografi dan subjek yang diangkat.



FILEM: Left Behind
ARAHAN: Vic Armstrong
PELAKON: Nicolas Cage, Chad Michael Murray, Nicky Whelan, Lea Thompson, Jordin Sparks
GENRE: Aksi fiksyen
TAYANGAN: 9 Oktober 2014
ULASAN: Amirul Haswendy Ashari

Entah apa yang difikirkan Nicolas Cage apabila sekali lagi berlakon dalam filem yang memburukkan lagi namanya sebagai pelakon berkaliber!
Memang the beginning of your ending la Cage!

Pelakon yang cukup memberi kesan dalam filem aksi sebelum ini seperti National Treasure, Con Air, Face Off malah pernah menggondol Anugerah Oscar 1996 untuk Pelakon Lelaki Terbaik, dilihat semakin jatuh ke dalam lubang kegagalan.

Jujur dikatakan, tidak hairan jika makin ramai peminatnya muak dengan pilihan filem lakonannya kali ini.Beberapa pengkritik antarabangsa memberi komentar ‘busuk’ lagi buruk pada filem ini, terutama pada fizikal filem yang sempit.

Filem Left Behind sebenarnya diangkat dari buku yang agak popular sekitar dua dekad lalu. Walaupun buku yang mengangkat tema agama dan sosial itu berjaya, tapi ia gagal sebaik saja diangkat ke filem.

Apakah penerbit, pengarah dan Nicolas Cage sendiri tidak ambil pengajaran dari filem sama yang pernah diterbitkan tahun 2000 lalu? Filem yang berjudul sama lakonan Kirk Cameron bukan saja gagal, malah paling buruk pernah dihasilkan pada kos yang tinggi!

dan aku kecewa lagi selepas Outcast!
Left Behind, kononnya adalah sebuah filem yang cuba mengajak manusia kembali ke agama (dalam hal ini, Kristian). Malangnya, hubungan itu serta faktor penggerak kepada plot serta dialog yang dilontarkan sangat lemah.

Pengarah gagal menggarap bahan yang ada di depan mata, sekaligus menjadikan Left Behind satu filem propaganda agama yang gagal dengan suntikan lakonan yang membosankan.

Seawal babak, penonton disajikan dengan shot sebuah buku berjudul Act of God, sekaligus menjadi pengenalan kepada penonton bahawa mereka bakal menyaksikan sebuah filem berunsur ketuhanan.

Kemudian, naratif pun mula berkembang ke arah kekeluargaan, mengenai kisah anak yang sedih dengan ketiadaan bapanya.Tidak banyak yang boleh dikatakan mengenai hal ini dek persembahan yang tersasar dari objektif sebenar filem.

Oleh kerana filem ini berdasarkan karekter yang dikembangkan dengan tujuan keagamaan, penonton disajikan dengan banyak subplot terutama karekter-karekter lain yang cuba disogokkan bersama.

Contohnya, tiba-tiba diwujudkan karekter penumpang beragama Islam yang kononnya pengganas (tipikal!), lelaki kerdil yang menyusahkan, wanita berkulit hitam yang tiba-tiba saja mengeluarkan senapang tanpa asas dan karekter seorang lelaki kaya yang mengambil berat situasi kejadian.

Secara teknikal, filem dengan kos produksi lebih RM 521 juta ini disajikan dengan kesan khas yang menyedihkan, suntingan yang tidak kemas dan sinematografi yang sangat 80-an.

No comments:

Post a Comment