Monday 21 May 2012

Kisah Kak Ana

 ”kekuatan sebenar manusia berada dalam jiwanya bukan pada anggota tubuhnya” – Alex Karras

Kisah ini berlaku sekitar tahun 2007 ketika saya bertugas sebagai wartawan penyiaran di sebuah stesen televisyen. Pada tahun pertama bergelar wartawan penyiaran, saya ditugaskan mengendali program realiti bukan hiburan ’REALITI OKU’. Sebuah program yang mensasarkan golongan kelainan upaya (OKU) sebagai peserta. Pada awalnya, saya tidak tahu apa bentuk cabaran atau cara apabila perlu berdepan dengan golongan OKU yang terdiri daripada pelbagai bentuk kekurangan anggota – buta, bisu, pekak, cacat anggota tangan dan kaki, cerebral palsy dan pelbagai lagi.
Ketika sesi ujibakat di Ipoh, Perak saya bertemu dengan seorang wanita yang mengalami kecacatan anggota yang juga seorang kerdil. Saya memanggilnya Kak Ana dan beliau sanggup datang jauh daripada Pulau Pangkor menaiki feri, bus dan teksi semata-mata untuk menyertai ujibakat itu. Orangnya peramah dan tak lokek berkongsi cerita sepanjang perjalanannya ke sini. Paling mengejutkan, beliau ditipu dan hampir dinoda seorang pemandu teksi tidak bertanggung jawab dalam perjalanan ke tempat ujibakat. Pun begitu ia tidak mematahkan semangat wanita itu untuk datang.
Mungkin sudah tertera program realiti itu sebagai rezekinya, Kak Ana terpilih sebagai peserta bersama 9 lagi peserta OKU lain. Saya dipertanggung jawab mengikuti setiap perkembangan dan aktiviti Kak Ana dalam melaksanakan tugasan sebagai peserta program. Selama hampir 3 bulan mengikuti perjalanan peserta program, saya mengenali setiap seorang peserta di bawah pemerhatian saya, dan Kak Ana paling memberi kesan kepada perspektif dan kekuatan diri saya sebagai manusia yang sempurna anggota badan.
Semuanya bermula sekitar tahun 1960-an selepas sebuah keluarga kaya berketurunan Cina di Pulau Pangkor dikurniakan dua anak yang cacat anggota. Malu dengan fizikal mereka, bayi lelaki cacat pertama dibuang ke dalam tong ikan dan dibiar mati kelaparan. Namun kisah malang bayi tidak berdosa itu tidak dihebahkan dan menjadi detik hitam masyarakat di sana ketika itu. Apabila dikurniakan pula seorang bayi perempuan, juga cacat anggota, nasib sama hampir berulang sehinggalah ada insan perihatin mencadangkan bayi itu diberikan saja kepada orang lain. Akhirnya bayi itu diserahkan kepada sepasang suami isteri miskin dan tua yang tidak ada cahaya mata. Bayi cacat itu membesar dengan penuh kasih sayang dan didikan seperti anak-anak lain. Dek kecacatan dialami, si ibu tua akan mengendong anak itu ke sekolah dan berjalan hampir 10 km setiap pagi dan petang. Manakala si bapa pula akan ke laut mencari sumber rezeki buat mereka bertiga. Begitulah rutinnya seharian sehinggalah anak itu membesar.
Walaupun dibuang keluarga sendiri, suami isteri tua itu sering menanamkan sifat mulia agar anak itu tidak melupakan insan yang melahirkannya ke dunia, yakni ibu kandungnya sendiri. Dek pesanan itu, si anak akan ke rumah keluarga kandung pada setiap perayaan membawa kuih dan hadiah buat ibu. Malangnya kedatangan si anak disambut dengan cercaan dan hinaan malah makanan dibawa dilempar atau diberi makan anjing peliharaan. Pun begitu ia tidak pernah mematahkan semangat anak itu untuk terus mendapatkan restu ibu kandung. Begitulah saban tahun, masa bersilih ganti. Ibu angkat mengadap ilahi ketika anak itu masih di bangku sekolah, maka tinggallah si anak tadi dengan bapa yang semakin uzur pula.
Kini, pada usia 35 tahun, Kak Ana tetap gigih berjalan bertongkat besi melawat ibu kandung walaupun masih dihina dan dicerca, menjaga ayah angkat yang sudah uzur dan nyanyuk, bekerja setiap hari menjahit pakaian ditempah untuk menampung kehidupan. Tapi berkat kesabarannya, dia berjaya membuka perniagaan dan kedai jahitnya sendiri di Lumut. Memiliki sebuah rumah selesa buat dirinya dan ayah malah beliau baru saja bergelar isteri. Walaupun bersuamikan cacat juga, itu bukan satu halangan tapi satu lagi pencapaian menggembirakan.

Melihat dan mendengar sendiri satu persatu kejayaan dikecapi walaupun kecil membuatkan saya merasa lebih kerdil dan cacat daripada mereka. Mereka mampu mengatasi setiap ujian dalam hidup dengan tabah dan sabar. Saya bersyukur kerana Allah pertemukan Kak Ana dalam hidup saya. Kini, saya adalah adik angkat Kak Ana dan beliau pula mencurahkan nilai kesabaran dan ketabahan itu di dalam diri saya.

No comments:

Post a Comment