FILEM: Act Of Valor
ARAHAN: Mike McCoy, Scott Waugh
PELAKON: Alex Veadov, Rosalyn Sanchez, Nestor Serrano
GENRE: Aksi
TAYANGAN: 23 Februari 2012
ULASAN: Amirul Haswendy Ashari
ACT Of Valor boleh diibaratkan sebagai filem yang didedikasi khusus buat pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) selepas tragedi 9 September menggemparkan dunia. Mungkin secara kasar ia tampak begitu tapi dalamannya ia hanya sebuah filem yang bercerita mengenai semangat patriotik rakyat AS dan usaha agensi terbabit membanteras keganasan.
Penulis mengkategorikan karya ini sebagai sebuah filem doku-drama yang jujur. Pertama kerana kebanyakan karekter dipegang pasukan tentera itu sendiri lantas menjadikan ia sebagai sebuah filem aksi dokumentari ketenteraan.
Kedua kerana pengarah dan penulis lakon layar secara terang-terangan mempromosi kerjaya ketenteraan sebagai tugas mulia buat rakyat AS sendiri. Secara tidak langsung mengembalikan propaganda ketenteraan tanpa teknik iklan komersial mahupun program televisyen khas yang pernah dilakukan sekitar tahun 1950-an.
Penekanan pada ciri-ciri realistik menggunakan tentera sebenar dan medan perang membuatkan penonton bukan sekadar menonton filem semata-mata tapi kisah benar yang berlaku depan mata.
Secara jujur, Act Of Valor ialah usaha jujur dua pengarah, Mike McCoy dan Scott Waugh yang mahu bercerita mengenai tugas sekumpulan tentera Navy Seal terlatih. Mereka dihantar ke Asia untuk menghentikan aktiviti pengganas dan menyelamatkan ejen CIA yang diculik.
Plot seterusnya berkembang kepada babak perang yang mendebarkan antara angkatan tentera dan kumpulan pengganas yang dalam perancangan untuk meletupkan beberapa bandaraya di AS.
Secara jelas, filem ini lebih menekankan perkembangan plot berbanding watak. Sebab itulah, sepanjang 111 minit filem ditayang, penulis percaya penonton tidak akan tertanya siapa memegang watak siapa tapi lebih kepada apa terjadi selepas ini.
Jangan harapkan ia sama seperti filem Saving Private Ryan atau Combat mahupun filem perang lain, kerana pengarah lebih menekankan kaedah peperangan zaman sekarang dan proses memerangi keganasan di peringakat akar umbi.
Perlahan-lahan penonton akan faham kenapa pengarah menggunakan tentera sebenar untuk menjadi pelaku jalan cerita Act of Valor. Daripada pemerhatian penulis, ia bertujuan untuk menonjolkan profesionalisma dan keupayaan sebenar tentera.
Walaupun ada babak yang boleh dianggap membosankan, filem ini berjaya mengikat penonton untuk berdebar di kerusi panggung. Ditambah pula dengan babak agak ganas dan kejam, ia masih relevan untuk ditonton.
Secara keseluruhan, Act Of Valor ialah filem sederhana yang terletak di tahapnya sendiri. Jangan meletak harapan terlalu tinggi untuk meletakkan ia pada senarai wajib tonton tapi tonton ia sebagai satu kisah menarik yang didedikasi khas kepada pasukan tentera.
Penulis percaya, selepas menonton filem ini akan timbul rasa hormat masyarakat umum terhadap pasukan beruniform itu. Terutama pada cabaran dan dugaan yang terpaksa ditempuhi mereka demi negara tercinta.
Cinta si kura-kura nakal
FILEM: CINTA KURA-KURA
ARAHAN: Nizam Zakaria
GENRE: Komedi romantik
TAYANGAN: 1 Mac 2012
ULASAN: SHAKILAWATI ABD RAHMAN
ANIMASI dan manusia bergabung? Mampukah KRU Films menggabungkan dua elemen itu sehebat garapan industri perfileman Barat yang terlebih dulu mendominasi pasaran sekali gus memecah tradisi pembikinan filem tempatan? Itulah antara persoalan yang sering kedengaran apabila penggambaran filem Cinta Kura Kura bermula.
Bukan mempertikai kemampuan syarikat produksi itu kerana umum sedia maklum keberanian mereka meneroka penggunaan teknologi CGI dan tampil dengan idea segar, cuma ia disebabkan rasa ingin tahu yang tinggi bagaimanakah hasil kerja keras tenaga kerja tempatan apabila animasi dan manusia bersatu menerusi teknik CGI.
Tidak hairanlah mengapa karya ini antara yang dinanti dan terbukti ia tidak mengecewakan. Biarpun ada cacat cela di sana sini, untuk penerbitan julung kalinya ia boleh dibanggakan.
Pujian wajar diberikan kepada pasukan produksi yang diketuai Nizam Zakaria selaku pengarah kerana berjaya membuktikan kita juga mampu menghasilkan karya sebegini meskipun berdepan dengan kekangan bajet dan kepakaran.
Naratifnya ringkas namun penyampaiannya cukup menarik. Nizam berjaya memaku perhatian penonton menerusi sentuhan kreatifnya yang bijak bermain dengan sudut, gerak kamera dan warna hingga setiap shot nampak cantik.
Lakonan berkesan barisan pelakon yang terbabit dalam filem ini turut memainkan peranan. Jika sebelum ini Tiz sinonim dengan karektor berat namun menerusi Cinta Kura Kura dia tampil berbeza dan menghiburkan. Aktres yang memukau jutaan penonton menerusi watak Nur menerusi siri serta filem Nur Kasih ini dapat berjaya menzahirkan watak Nani, gadis ceria dengan cukup bersahaja. Begitu juga dengan Aeril Zafril, tidak mengecewakan menerusi watak Adam, jejaka sengal bila berdepan dengan soal hati dan perasaan. Biarpun baru, dia mempunyai potensi besar muncul sebagai hero pelapis jika diberi lebih kepercayaan dan peluang.
Biarpun hadir sebagai watak pembantu iaitu ibu kepada Adam, Norhayati Taib, mampu membuatkan penonton tidak kering gusi dengan ayat pedas dan lontaran suara bingitnya. Pujian juga harus diberikan kepada Munir, Fizz Fairuz dan Harun Salim Bachik kerana sangat menghiburkan. Tidak dilupakan, 'umpan' utama filem ini iaitu Zizan Nin dan Ucop Wilcha yang meminjamkan suara mereka untuk watak kura-kura bernama Nico dan Atuk.
Banyak babak yang akan membuatkan penonton ketawa terbahak-bahak antara aksi gatal dan perasan bagus Nico serta cubaan nakalnya merosakkan hubungan Nani dan Adam. Selain itu babak pelbagai jenis haiwan peliharaan dan liar yang berlari keluar dari restoran juga satu suntikan yang unik biarpun tidak logik. Babak Fadzly lakonan Fizz yang licik tetapi pencinta lagu dangdut juga bisa menggeletek hati.
Filem hiburan seisi keluarga ini mengisahkan Nani sangat menyayangi kura-kura peliharaannya yang diberi nama Nico. Tanpa pengetahuannya, Nico mempunyai kelebihan luar biasa iaitu bercakap dengan manusia. Apabila berpindah ke rumah abangnya, Amin, Nani berkenalan dengan jirannya, Adam dan mereka jatuh cinta.
Nico tidak suka dengan Adam lalu mensabotaj usaha jejaka itu memenangi hati seorang gadis ceria berusia 21 tahun bernama Nani bersama binatang peliharaannya, Nico. Dalam masa sama Nico lebih suka jika Nani bercinta dengan Fadzly, pengurus kedai haiwan yang sebenarnya menyimpan niat jahat.
Aksi Cair Giler!!

FILEM: John Carter
ARAHAN: Andrew Stanton
PELAKON: Taylor Kitsch, Lynn Collins dan Willem Dafoe
GENRE: Aksi sains fiksyen
TAYANGAN: 8 Mac 2012
ULASAN: Amirul Haswendy Ashari
SEKIRANYA anda peminat filem sains fiksyen seperti Star Wars dan Avatar, John Carter adalah satu daripada koleksi wajib tonton. Pada masa sama, aksi gladiator yang diselit menjadi pemanas 'punggung' buat peminat genre aksi yang tercari-cari filem sebaik Gladiator, Troy, Samson and Delilah mahupun Thor.
Sebagai John Carter, Taylor Kitsch berjaya melontar rasa yang hebat. Malah dia seolah berjaya 'membalas dendam' selepas aksinya sebagai Gambit dalam filem X-Men lalu kurang memberi impak.
Taylor benar-benar menggunakan peluang ini sehabis baik untuk menonjolkan diri sebagai aktor hebat. Daripada menonjolkan sifat jantan dengan menayangkan tubuh padu sehinggalah kepada keupayaan melakonkan aksi lasak. Tidak mustahil, Taylor bakal menjadi idaman gadis remaja dek aura hero yang ditonjolkan.
Selama 2 jam dan 12 minit tayangan, filem ini padat dengan aksi dan perkembangan watak John Carter. Boleh dikatakan setiap plot diisi dengan babak berlawan. Penulis percaya, antara babak yang menarik perhatian penonton ialah babak pertembungan Tharks, Heliumites dan gerombolan tentera Zodanga.
Ditambah pula dengan kesan khas yang menakjubkan, sinematografi serta gerak kerja kamera yang bijak, setiap aksi ditonton memang berbaloi. Tapi di celah setiap aksi, penulis berpendapat pengarah patut memberi sedikit ruang atau 'momen' apabila John Carter jatuh cinta dengan Dejah Thoris (Lynn Collins). Sekurang-kurangnya dapat mencetuskan sedikit rasa tenang kepada penonton.
Lynn Collins juga berjaya membawa watak puteri yang lasak lagi gagah. Setiap momen diberi tampak jujur tanpa dibuat-buat. Malah jika dibandingkan dengan aktres lain yang pernah membawa watak 'heroin' seperti dalam filem Xena: The Princess Warrior, Dejah Thoris jauh lebih baik.
Filem ini diangkat daripada cerita pendek karya Edgar Rice Burrough berjudul The Princess from Mars. Mereka yang pernah membaca kisah itu, pasti kagum dengan pilihan watak yang diangkat pengarah untuk ke layar lebar.
Mungkin tidak sehebat Avatar daripada segi aplikasi teknologi yang jauh ke depan, penulis tetap tabik 'spring' dengan pengarah kerana berjaya mengemudi sebuah filem sains fiksyen yang epik dan diperkatakan sejurus kaki melangkah keluar pan

ggung.
Untuk tontonan yang lebih hebat, penulis mengesyorkan penonton untuk menonton John Carter secara 3D dan Imax. Pertama kerana kepuasan visual yang maksimum dan kedua kesan bunyi dan khas yang sangat hebat!
Jika sebelum ini, penulis menghuraikan jalan cerita sebuah filem, kali ini penulis mahu menyimpan huraian itu supaya pembaca dapat datang dan menonton sendiri filem ini untuk merasakan keterujaan yang penulis rasakan melalui filem John Carter.
No comments:
Post a Comment