PERNAH dengar ungkapan tajam lidah dari pedang? Pasti kalian pernah, kan? Aku pinjamkan kata- kata itu yang dipetik dari peribahasa Arab. Kerana apa yang bakal aku kongsi selepas ini berhubung kait dengan ungkapan itu.
Secara jujur, aku lelaki yang dikategorikan 'laser' tapi bertempat. Yakni, berbicara dalam nada menyakitkan hati apabila ada yang tidak kena. Ada yang boleh terima dan ada yang berasa pedih tapi apa boleh buat, aku cuba untuk jujur.
Dalam hal ini, aku gunakan penulisan sebagai medium untuk aku berterus terang atau bahasa kiasnya, pedang untuk aku berperang.
Sejarah sudah membuktikan penulisan antara senjata terbaik yang digunakan pejuang kemerdekaan. Menyampaikan hasrat, objektif, fahaman, dakyah dan segala macam definisi perjuangan. Antara tokoh yang berjaya membuka mataku ialah Burhanudin Helmi,Ibu Zain, Ishak Hj Mohamad, Dr Sharom Husain, Pak Sako, Sukarno Hatta, Mahatma Ghandhi dan beberapa nama besar lain.
Mereka ini berjaya membuka mata hati dan akal kita untuk berjuang dengan cara halus. Daripada setiap kata di helaian yang tertulis tersingkap 1001 idea yang menjadikan siapa kita hari ini.
Tak perlu rasanya aku huraikan satu persatu apa yang telah mereka lakukan untuk bangsa dan negara. Kalau nak tahu lebih lanjut, lebih baik pergi saja ke perpustakaan atau google di internet.
Berbalik kepada tujuan asal, kadang kala penulisan boleh memberi makna pelbagai, bergantung kepada cara dan gaya kita membaca. Malah ia juga bergantung kepada mood dan persekitaran pada waktu itu. Contohnya, jika pada masa itu kita sedang 'moody' pasti ayat seperti "tak cukup bahan lagi ke?" bagai satu provokasi yang menghentam ego. Tapi jika pada masa itu 'mood' tengah cerah secerah langit biru terbentang luas, ayat itu hanya pertanyaan biasa.
Begitu juga tatkala aku menulis di ruangan ini, ada insan akan memandang gaya penulisan ku hanya sekadar cetusan perkongsian untuk sama-sama mencari jalan penyelesaian, idea serta maklumat. Tapi jika di kala itu, hati dan jiwa dihambat rasa marah, tidak puas hati atau rumusnya negatif, akan ada yang melihat gaya penulisan serta perkongsian kisah yang aku canai di sini sebagai satu cara untuk menyalahkan pihak lain.
Jujurnya, aku menulis bukan kerana nama atau mahu melaga-lagakan sesiapa. Aku menulis kerana ini medium yang aku rasa paling sahih untuk melunaskan idea dan cetusan rasa yang terpendam. Tidak terlintas di benak pemikiran untuk menyakitkan hati sesiapa. Segalanya terpulang kepada cara kita mentafsirkannya.
Seperti menikmati secawan kopi. Walau bagaimanapun bentuk cawan kopi samada ceramik, kaca, plastik atau kertas, ia tetap bekas minuman yang aku guna untuk menghirup kopi panas/sejuk. Pilihan terletak pada kita kerana diakhir cerita, kopi itu tetap jadi minuman pilihan kita.
No comments:
Post a Comment