Tuesday 6 March 2012

Perginya Seorang Teman...

Kuntum (berdiri paling kiri sebelah Abg Acis) ketika kami
sama-sama menjalankan tugas di konsert Inspirasi TV3
di Dataran Merdeka pada 19 Jun 2010
JUJURNYA aku tidak rapat dengan arwah Ashraf Abd Manaf atau lebih mesra disapa teman-teman media sebagai Kuntum. Tapi kami pernah berjenaka dan bersapa mesra bila berkesempatan bertemu di majlis berkaitan.

  Arwah antara teman media yang sangat peramah dan baik dengan semua orang. Malah ketika aku masih mentah sebagai wartawan hiburan, dia antara orang pertama yang menegur dan ingin berkenalan denganku. Daripada situ, wajah dan keletahnya mula melekat dalam memoriku.

  Tapi belumpun sempat aku kenal Kuntum dengan lebih rapat, dia meletakkan jawatan sebagai wartawan hiburan dan menerima tawaran menyambung pelajaran dalam bidang pendidikan di UPSI. Pun begitu, dia tidak pernah memutuskan hubungan dengan semua teman wartawan yang dikenali, termasuk aku.

  Walaupun tidak rapat, aku sering mengikuti perjalanan kehidupannya melalui facebook. Daripada saat kembali bergelar pelajar sehinggalah dia tamat belajar dan ditugaskan ke pendalaman Sarawak.
  Setiap kali Kuntum memuat naik status facebook mengenai aktivitinya bergelar guru di sana, kami di sini ikuti dengan ceria. Malah aku sering tersenyum dengan keletah dan statusnya yang bersungguh-sungguh menjalankan tugas sebagai guru di tempat orang.

  Malangnya, beberapa bulan di sana, kami mendapat berita Kuntum jatuh sakit. Pada mulanya, aku tidak berapa cakna dan beranggapan sakitnya hanya biasa-biasa sahaja. Sehinggalah apabila bertemu dengan beberapa teman media, mereka berbual pasal penyakit Kuntum yang didakwa akibat buatan orang, atau istilahnya di santau!

  Mengucap panjang bila aku dengar satu persatu kisah yang diceritakan teman-teman yang rapat dengannya. Sejak itu aku mula mengikuti perkembangan penyakit Kuntum di fb dan dari mulut teman teman media.
  Semakin hari, aku dapat tahu kesihatannya semakin buruk. Selepas beberapa bulan sakit, dia koma dan dimasukkan ke hospital di kampung halamannya, Perak. Sejak Kuntum dimasukkan ke hospital, aku dan Ayu Gua bercadang untuk melawatnya.

  Tapi dek kesibukan dan halangan yang tidak dapat dielakkan, niat kami tidak kesampaian. Aku tekad untuk pergi melawatnya hujung minggu ini. Kebetulan pula aku sudah merancang dengan isteri untuk pulang ke kampung kerana menghadiri majlis kenduri kahwin sahabat di Kedah. Jadi kesempatan itu, aku harap boleh lah singgah sekejap di Hospital Besar Slim River di mana Kuntum ditempatkan sejak beberapa bulan lalu.

  Sayangnya, Allah lebih menyayanginya... Pagi tadi sebelum menghadiri sidang media Finas di De Palma, Ampang, aku terdetik untuk membuka laman FB. Alangkah terkejutnya bila membaca wall status FB, Kuntum sudah menghembuskan nafas terakhir pada lebih kurang jam 10 malam.
 
 **Kuntum, walaupun perkenalan kita tidak lama, kau antara insan yang sering aku ingat sampai bila-bila... kau antara teman yang banyak membantu rakan-rakan lain dan kau insan yang banyak membawa senyuman kepada yang lain... Doaku, semoga Allah menempatkan Asyraf Abd Manaf bersama-sama mereka yang beriman dan syahid di jalanMu... Al-Fatihah...

3 comments:

  1. Innalillah, alfatihah.. Semoga arwah tenang di sana..

    ReplyDelete
  2. kalau ikutkan arwah dikatakan meninggal sebab disantau orang.. kalau tak silap, mereka yang meninggal kerana 'buatan' orang termasuk dalam mereka yang mati syahid, seperti mana mereka yang meninggal ketika berjuang atas nama agama, meninggal ketika bersalin, pelajar yang dalam perjalanan ke untuk belajar dan ketika dalam perjalanan ke masjid untuk beribadah..semoga Allah tempatkan mereka di sisiNya..

    ReplyDelete