Friday 24 February 2012

Setahun berlalu

AKU sedar agak lama tidak menulis dalam blog ini. hampir dua tahun rasanya blog ini terbiar sepi tanpa ulasan atau cetusan hati. alasanku, sibuk dengan ketukan papan kekunci menghasilkan cerita dan artikel penting di dada Selebriti Metro Ahad. oleh itu, aku mohon maaf kepada semua pengikut blog ini (walaupun jumlah pengikut boleh dikira dengan jari) kerana diam seribu bahasa selama dua tahun lamanya. sibuk dowh! haha...
  untuk pembuka kisah 2012 ini, aku mahu berkongsi pengalaman bergelar suami. aku sah bergelar suami penghujung 2010 lalu dan selama setahun lebih ini, banyak perkara yang berlaku dalam hidup aku.
  aku tidak boleh berbicara secara terbuka isu dan masalah yang timbul sebaik bergelar suami tapi apa yang boleh aku kongsi di sini ialah hati aku masih keliru dan berbelah bagi. kalau diikutkan, aku tidak ada tempat nak luahkan rasa ini. sama ada di facebook atau twitter mahupun friendster (yang sudah lama kutinggalkan juga). memang ikutkan hati mahu saja aku luahkan rasa geram dan tidak puas hati pada status facebook tapi sampai bila dan untuk apa? cukuplah buat aku dan pihak yang membaca status itu sakit hati dan akhirnya mencetus perang tanpa sempadan.
  di sini, aku boleh menulis lebih panjang dan menajamkan gaya penulisan agar lebih sempurna. tapi bagaimana nak mencanai gaya penulisan serta objektif sebuah karya, aku masih lagi berkira-kira. bimbang jika aku terlalu berterus terang akan mengundang rasa kurang senang.
  berbalik kepada pengalaman bergelar suami, jujurnya aku insan paling gembira bila sah diijabkabul. segala impian dan harapan yang diletak sebelum ini terbukti pada tarikh 19 November 2010. tarikh keramat buat aku dan isteri yang ku lamar setahun sebelum itu.
  tapi sebaik saja melangkah gerbang, jiwaku rasa lain, perasaan dan otakku berkecamuk. aku rasa beban yang hilang sebelum ini kembali dengan lebih dasyat dan berat, Allah saja yang tahu.
  dua hari selepas itu, aku jadi egoistik dan pemarah. jujurnya, aku tidak tahu dan sangat keliru. tapi secara lahiriah aku dapat rasakan ia berpunca daripada ketidak serasian antara kami. secara kasar kami sangat berbeza tapi dalaman kami sangat sama - cita-cita besar, tidak suka dikongkong, mahu yang terbaik untuk satu sama lain, suka melawan, memberontak bila keinginan tidak dipenuhi dan banyak lagi.
  tambahan pula selepas diselidiki, 'jhin' (saka) yang menjadi 'penjaga' diperturun nenek moyang kami dulu masing-masing panas bila bertembung. aku tahu bunyinya seolah mengarut dan tahyul tapi itulah yang berlaku.
  dek pertembungan itu, aku sentiasa jadi pemarah dan penuh kebencian. kerana sayang, aku mengaku yang punca kepada masalah itu daripada aku kerana isteri tidak percaya ia juga berpunca daripadanya. kerana sayang dan mahu berubah, aku ikut setiap sesi perubatan ntah-apa-apa-ntah, daripada mandi limau berbaldi-baldi, sehinggalah berasap kemenyan penuh serumah dicampur mentera tak-faham-sepatah-haram, aku turuti.
  tapi semua itu tidak berjaya untuk membuang rasa geram dan benci. jauh disudut hati, aku sangat sayangkan isteri tapi apabila jadi macam ini, aku sudah keliru. atas nama cinta, aku tebalkan muka bertemu dengan pakar psikologi dan bercerita masalah menimpa. daripada pertemuan itu, aku disahkan mengidap 'bipolar dissorder stage 2 with manic depression' - sejenis tekanan perasaan yang lazim berlaku di kalangan masyarakat moden kini, namun menariknya, penyakit jiwa ini kebanyakkan menimpa golongan bijak pandai, berjiwa seni dan nama besar.
  hmmm... aku tak pasti nak bangga atau senyum bila membaca satu persatu sejarah pesakit yang pernah dikategorikan bipolar. tapi bila diimbas kembali perjalanan hidupku, aku memang dilahirkan untuk menjadi manusia hebat... maaf lah masuk bakul angkat sendiri tapi itulah yang aku dapat rasakan...
  apabila jadi begini, semua yang aku harap dan impikan terus bertukar negatif. aku mula berfikir tentang diri sendiri dan mahu jauh lari dari sini. aku rasa menyesal kerana membuat keputusan atas dasar 'rebounce', satu hal yang tak patut dilakukan bila membuat keputusan besar dalam hidup.
  sekarang, aku masih lagi berusaha gigih membetulkan keadaan. walaupun terpaksa korbankan banyak benda termasuk pendirian dan maruah, aku terus gagahi jua.

1 comment:

  1. masyaAllah..adakah u menyesal..pikir2lah untuk kebaikan antara 2 pihak..i tak rasa u sorg jer terseksa..at least ur wifey still bertahan sehingga skang(ada lg k dgn u?soli,nanti i g link.).i know a few yg ngidap sakit nie..n apa yg org sekeliling this kind of patient tanggung.apa2..ingat Allah sentiasa bsamamu,jd dekat2knlah diri dgnNya.slmat beramal.

    ReplyDelete